Thursday, 12 January 2012

Pelihara nikmat keamanan

TAHUN 2011 sudah melabuhkan tirainya dengan pelbagai episod kehidupan merentas pelbagai benua di seluruh dunia. Ada antara peristiwa itu meninggalkan kenangan manis dan tidak kurang juga tragedi pahit menyayat hati seperti tsunami melanda Jepun pada Mac 2011.
Walau apa jua yang berlaku sepanjang 2011, kita semua perlu menumpukan seluruh tenaga dan perhatian terhadap 2012. Dengan kata lain kita semua perlu mempunyai azam dan sasaran yang jelas untuk dicapai pada tahun ini agar gerak kerja dan kehidupan bakal ditempuhi sepanjang 12 bulan akan datang lebih cemerlang hasilnya.

Untuk merangka azam tahun ini, kita wajar mengambil kira prestasi perancangan yang disasarkan tahun lalu. Bagi sebuah syarikat, pastinya untung dan rugi direkodkan tahun lalu akan menjadi penanda aras untuk menetapkan penunjuk prestasi utama (KPI) bagi 2012.
Bagi seorang pelajar pula pencapaian cemerlang dalam peperiksaan penting seperti UPSR, PMR dan SPM menjadi azam dan impian mereka. Seluruh rakyat Malaysia pula tanpa mengira status kehidupan, bangsa dan keturunan perlu meletakkan perpaduan nasional dan keamanan negara sebagai azam nombor satu pada 2012.

Perkara ini tidak boleh dipandang remeh memandangkan negara kita memang tidak dapat dinafikan boleh terdedah kepada kemungkinan ancaman keselamatan dari dalam negara seperti demonstrasi jalanan serta rusuhan kaum. Dalam keadaan media sosial seperti facebook dan twitter yang semakin mendominasi gaya hidup rakyat Malaysia, maka 1001 keadaan luar jangka boleh tercetus andainya tiada langkah pencegahan dan pemantauan ketenteraman awam dilakukan secara konsisten khususnya oleh pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia.

Seluruh negara tidak akan dapat melupakan insiden yang menggemparkan kita semua baru-baru ini iaitu kepala khinzir diletakkan di hadapan sebuah masjid di Johor Bahru beberapa hari menjelang sambutan tahun baru.

Untuk rekod, kejadian seperti itu bukanlah pertama kali berlaku di negara ini dan ia benar-benar mencabar sensitiviti umat Islam di Johor, khususnya dan seluruh negara amnya. Insiden cukup menghinakan itu mendapat reaksi bersepadu daripada pelbagai pihak sama ada pemimpin kerajaan mahupun pembangkang yang mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tidak bermaruah itu sambil menggesa pihak polis memberikan keutamaan tinggi untuk menyiasat dalang bertanggungjawab mencemarkan kesucian masjid sebagai rumah ibadat umat Islam.

Sebagai rakyat Malaysia yang sudah lebih 54 tahun mengecap nikmat kemerdekaan dan hidup dalam pola masyarakat yang berbilang kaum maka niat pihak tertentu untuk melancarkan provokasi perkauman atau melaga-lagakan mana-mana pihak haruslah dihentikan.
Pada ketika Malaysia sedang dalam rangka bergerak menuju status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 adalah wajar mentaliti rakyat negara ini dipupuk supaya berpandangan jauh ke hadapan dan tidak terbelenggu dengan corak pemikiran yang terbatas dalam ruang lingkup perkauman atau ideologi politik tertentu.

Usaha untuk memupuk keharmonian dan perpaduan pelbagai kaum di negara ini adalah satu agenda yang besar dan perlu didukung dengan rasa penuh tanggungjawab oleh sekalian 28 juta rakyat Malaysia.

Kita sudah pasti tidak mahu melihat ketegangan kaum seperti yang pernah tercetus pada 13 Mei 1969 ‘diulang tayang’ secara langsung tahun ini.

Oleh itu, penghayatan yang tinggi terhadap nilai perpaduan nasional berteraskan falsafah 1Malaysia perlulah diterjemahkan sebaik-baiknya dalam konteks hubungan antara kaum agar nikmat kemakmuran dan pembangunan negara ini dapat dinikmati secara saksama.

Marilah kita bersama-sama merenung sejenak nasib beberapa negara terjebak dalam kancah permusuhan etnik yang tidak mendatangkan sebarang hasil melainkan ia meletakkan negara berkenaan dalam kondisi anarki iaitu keadaan kucar- kacir dan pentadbiran negara tidak dapat diuruskan menerusi perundangan yang mantap.

Apabila sesebuah negara berada dalam keadaan kacau- bilau dan tidak aman maka ketika itu hilanglah sekian banyak nikmat kehidupan yang pernah dikecapi rakyat di negara tersebut.

Andainya baru-baru ini kita boleh menyambut kedatangan tahun baru dengan penuh meriah dan keterujaan maka tidak mustahil segala kemeriahan dialami itu bakal menjadi nostalgia silam jika nikmat keamanan yang sedang kita kecapi ini tidak dipelihara dengan penuh kesyukuran.

Berwaspadalah dengan segala tindak tanduk kita sama ada tingkah laku dan tutur kata kerana dikhuatiri peribahasa Melayu yang acapkali diungkapkan sejak kecil ini akan berlaku ke atas diri kita - sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya lagi. Penulis berkelulusan Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Mekanikal Universiti Multimedia (2007).

No comments:

Post a Comment